Perutusan Presiden
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera diucapkan kepada Alumni dan bakal Alumni SMK DATUK BAHAMAN.
Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T dengan penghormatan dan amanah yang diberikan oleh SMK DATUK BAHAMAN untuk saya menganggotai AJK Persatuan Alumni SMKDB edisi 2024-2026 ini, serta berpeluang untuk memberikan kata-kata aluan dalam laman sesawang rasmi Alumni.
Secara ringkasnya, Persatuan Alumni SMKDB telah ditubuhkan dengan rasminya dan berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 08/10/2024. Persatuan Alumni ini terbuka kepada Bekas-bekas Pelajar, Tenaga Pengajar dan kakitangan yang pernah berkhidmat dengan sekolah ini. Sebagai rujukan semua, Sekolah ini telah mula dibuka pada 11/1/ 1965 lagi dengan gelaran, Sek Ren Lanchang, Sek Men Rendah Lanchang, Sek Men Dato Bahaman dan terkini, Sek Men Kebangsaan Datuk Bahaman. Pada Tahun 2025, Genaplah ulangtahun yang ke 60 ( Jubli Intan) bagi Sek Men Datuk Bahaman ini,
Saya yakin dengan bermulanya penubuhan Sekolah ini sehingga sekarang, SMKDB telah melahirkan ramai alumni tersohor dalam badan-badan kerajaan, swasta dan pelbagai industri. Saya percaya dengan ketinggian ilmu akademik, nilai lahiriah dan batiniah yang disemai di SMKDB selama tempoh pembelajaran & berkhidmat disini adalah kriteria-kriteria unggul alumni dalam menghadapi realiti kehidupan dalam pelbagai aspek ilmu, teknologi, sosial, budaya, dan politik yang saling berkait.
Penggunaan media sosial pada era ini sebagai perantaraan komunikasi semakin berkembang pesat. Laman sesawang turut menjadi salah satu platform alumni dan bakal alumni untuk mendapat perkongsian maklumat, interaksi, hebahan aktiviti dan program yang melibatkan alumni. Oleh itu saya berharap, agar platform ini akan sentiasa digunapakai bagi meningkatkan semangat kekitaan (sense of belonging) alumni sama ada dalam negara mahupun luar negara.
Baca
Pihak AJK akan sentiasa menyampaikan berita-berita dan perkembangan terkini serta kejayaan-kejayaan alumni yang akan menjadi satu jaringan perhubungan yang bersepadu antara alumni sesama alumni dan alumni bersama Sekolah serta alumni bersama pelajar atau lebih tepat bakal alumni. Oleh itu, saya mengharapkan jasa baik para alumni sekalian untuk membantu Persatuan dengan mengemaskini maklumat diri anda di Rasmi Alumni agar perkara ini dapat direalisasikan dan seterusnya membuktikan bahawa SMKDB mempunyai maklumat alumni yang kukuh dan terkini. Melalui data-data yang diperolehi, interaksi berkesan dan berterusan di antara Sekolah dan Alumni akan dapat ditingkatkan dan diperluaskan lagi.
Saya juga berharap agar Alumni SMKDB terus dapat menyumbang bakti kepada Sekolah tidak kiralah dalam sudut dan aspek apa sekalipun. Perkongsian ilmu, pengalaman dan kemahiran selepas tamat Sekolah amat diperlukan kepada Pelajar ataupun bakal-bakal alumni ini. Alumni merupakan sosok yang paling berpengaruh dalam kalangan bakal alumni kerana mereka merasakan setiap pengalaman dan perkongsian daripada alumni itu sangat dekat dengan mereka kerana masing-masing pernah berada di kerusi yang sama, tempat yang sama dan situasi yang sama sebelum para alumni berjaya.
Saya dengan sukacita dan berbesar hati menjemput alumni bersama-sama memberi komitmen yang berterusan, menyumbang, menggembleng tenaga untuk membina kekuatan dalam memartabatkan SMKDB sebagai sebuah Sekolah luar bandar yang boleh berdaya saing, seantara denganya, mahupun di peringkat nasional dan antarabangsa.
Akhir kata dari saya, bersama kita semarakkan budaya menyumbang dan berbakti kepada PERSATUAN ALUMNI SMK DATUK BAHAMAN dan saya berdoa semoga kegemilangan dan ukhuwah antara para alumni SMK DATUK BAHAMAN di luar sana terus berkekalan.
Ayuhlah bersama kita kembali menyumbang kepada Sekolah tercinta.
Sekian, wasallam.